CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, October 11, 2009

CAMERON HIGHLANDS - Sekumpulan 500 pekebun sayur warga Indonesia mengutuk tindakan rakyat senegara mereka yang menubuhkan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang disifatkan sebagai melampau. Wakil kumpulan pekebun terbabit, Ahmad Thoyib Matsum, 50, berkata, mereka kecewa dengan perbuatan provokasi Bendera terhadap Malaysia sejak akhir-akhir ini. "Kami pekerja Indonesia di Cameron Highlands tidak setuju dengan kumpulan Bendera. Kami mahu aman di sini, kami mahu mencari rezeki untuk keluarga di Indonesia. "Setiap salah faham yang timbul antara Indonesia dan Malaysia boleh diselesaikan dengan baik secara perbincangan, lagipun kita serumpun," katanya. Beliau ditemui bersama-sama kira-kira 15 pekebun sayur Indonesia lain yang berhimpun dan mengadakan demonstrasi secara aman di pekarangan Masjid Kayangan, Brinchang di sini semalam. Menurut Ahmad Thoyib, majoriti warga Indonesia yang mencari rezeki di pusat peranginan tersebut tidak bersetuju dengan pendekatan keganasan dan kekerasan yang dianjurkan oleh Bendera. Sememangnya tindakan segelintir rakyat Indonesia ini amat mengecewakan rakyat Malaysia di mana pihak Kerajaan Malaysia sering membantu negara tersebut dalam pelbagai aspek terutama dari segi pembangunan akibat bencana alam misalnya bencana Tsunami dan gempa bumi di Padang baru-baru ini.


Datuk Seri Najib Tun Razak Lancar Buku "Menakhoda Zaman"

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku dwibahasa iaitu Menakhoda Zaman dalam bahasa Melayu dan Helming the Times dalam bahasa Inggeris yang merupakan himpunan ucapan beliau yang telah diolah semula semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO dari 2004 hingga 2009. Perdana Menteri dalam kata-kata pendahuluan buku itu memberitahu, Menakhoda Zaman dipilih sebagai tajuk buku bersempena dengan tema ucapan beliau ketika merasmikan persidangan serentak perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 29 Mac lalu. Tambahnya, ia menjadi amanat terakhir baeliau selaku Timbalan Presiden UMNO kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu sebelum mengambil alih tampuk pimpinan parti. "Buku ini merupakan koleksi inti pati daripada siri ucapan perasmian tiga sayap UMNO dalam kapasiti Timbalan Presiden selama lima tahun, penerbitannya pula bukan hanya ditujukan kepada ahli-ahli parti. "Penyuntingan semula lima ucapan itu dengan menyaring sebahagian besar aspek yang membabitkan politik dan UMNO, adalah untuk mengajak pembaca tanpa mengira latar belakang siasah mahupun keturunan untuk berkongsi kebimbangan, kepercayaan, pandangan juga wawasan saya demi bangsa dan negara ini, terutama orang Melayu," katanya. Pelancaran buku itu di East Atrium Mid Valley Megamall turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITJNM), Mohd. Khair Ngadiron di sini hari ini. Buku setebal 152 muka surat itu dijual di semua cawangan MPH serta kedai buku utama seluruh negara pada harga RM42 di Semenanjung dan RM45 di Sabah dan Sarawak. Najib memberitahu, sebagai pemimpin pertubuhan Melayu terbesar negara, beliau tidak dapat lari daripada tanggungjawab memastikan orang Melayu tidak terus ketinggalan berbanding rakan dari kaum lain. Bagaimanapun, tegasnya, selaku pemimpin sebuah negara majmuk, beliau tidak akan sekali-kali membiarkan kaum lain dipinggir atau dianaktirikan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. "Konsep 1Malaysia yang saya perkenalkan sejurus selepas menggalas tanggungjawab menjadi Perdana Menteri jelas mengenai hakikat ini. Perdana Menteri berkata, kesemua 11 bab di dalam buku ini adalah pecahan daripada lima ucapan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO sepanjang separuh dekad. Katanya, lima ucapan itu masing-masing bertemakan Menakhoda Zaman (tahun 2009), Mengangkasa Tamadun Bangsa (2007), Memacu Minda Melayu (2006), Menjana Melayu Glokal (2005) dan Kesinambungan dan Perubahan (2004). "Dua bab pertama daripada sedutan ucapan 2009 membicarakan mengenai politik, khususnya masa depan UMNO ekoran keputusan pilihan raya umum 2008. "Bab lain memberi tumpuan kepada kedudukan, kelemahan dan masa depan orang Melayu serta bagaimana mereka boleh bangkit menjadi sebuah bangsa yang disegani dan dihormati," katanya. Najib memberitahu, dimensi baru menuntut bangsa Melayu melonjak ke hadapan dengan memperkukuh daya saing untuk berlumba menjadi antara yang terbaik di pentas dunia. Tegas beliau, orang Melayu tidak mempunyai pilihan kecuali berubah kerana jika orang Melayu gagal menakhoda zaman akan ketinggalan zaman. "Sebahagian besar kandungan buku ini menjurus kepada usaha mengajak bangsa Melayu menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan dan membina masa depan dalam zaman yang serba mencabar ini," katanya.

SMART hentikan misi Padang

PADANG 11 Okt. - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pasukan perubatan negara bakal menamatkan operasi di sini pada 13 Oktober ini setelah berjaya melaksanakan misi masing-masing. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat setelah kerajaan yakin pemerintah Sumatera Barat dan Padang mampu menjalankan misi membantu mangsa gempa meneruskan kehidupan. Katanya, kepulangan dua pasukan itu bagaimanapun tidak bermakna kerajaan menghalang mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada terus datang ke Sumatera Barat untuk menghulur bantuan. "Kedua-dua pasukan ini telah melaksanakan matlamat penghantaran fasa pertama (mencari dan menyelamat) dan fasa kedua (menyampaikan sumbangan makanan dan perubatan). "Keadaan kini sudah masuk ke fasa ketiga iaitu memulihkan semua kemudahan dan infrastruktur asas seperti rumah mangsa. Kita yakin Kerajaan Indonesia mampu melakukan perkara itu sendiri dengan bantuan NGO tempatan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, di sini selepas mengadakan lawatan ke Sumatera Barat bagi meninjau kesan bencana tersebut selain melihat sendiri operasi pasukan bantuan di sana. Zahid menambah, pihak Indonesia bagaimanapun masih mengharapkan agar lebih banyak bantuan berupa khemah dihulurkan kepada mangsa sebagai kediaman sementara mereka. Menurutnya, setakat ini hanya 3,800 khemah bantuan diterima sedangkan keperluan penduduk mencapai sekitar 50,000.

Malaysia Salur Bantuan RM3.5 Juta

PADANG 11 Okt. - Kerajaan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM3.5 juta) bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku pada 30 September lepas di Padang, Indonesia. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan kewangan itu bagi membantu membangunkan semula sekolah, rumah ibadat dan kemudahan yang lain. Beliau berkata, keputusan itu telah mendapat persetujuan jemaah menteri dan akan disalurkan secepat mungkin melalui Kementerian Luar Malaysia kepada Kementerian Luar Indonesia. "Tumpuan diberikan untuk membangunkan semula sekolah dan rumah ibadat kerana ianya adalah kegunaan umum dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk di Padang," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan gempa bumi dan mendengar taklimat oleh Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi di Istana Gabenor Sumatera Barat di sini hari ini. Selain dari sumber kerajaan, beliau berkata, kutipan melalui tabung bencana alam anjuran media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggarkan bernilai RM10 juta akan turut disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Padang. Katanya, bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia kepada rakyat Indonesia membuktikan keprihatinan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia di atas musibah yang menimpa negara jiran yang paling rapat. "Keprihatinan kami adalah ikhlas bukannya retorik atau kata-kata semata-mata. Kita berharap rakyat di Indonesia khususnya di Padang turut ikhlas menerima bantuan kami," katanya. - BERNAMA